Pages

Friday, October 28, 2011

Permulaan~


Assalamu'alaikum w.b.t,

Untuk pertama kalinya, saya menukar url blog tanpa memaklumkan kepada sesiapa. Saya memerlukan sedikit perubahan untuk mula berkarya. Tak sampai hati nak tukar background, masih setia menggunakan background lama. InsyaAllah, moga saya terus istiqamah dalam bidang penulisan.

Tuesday, August 16, 2011

Lapangkan hatimu dengan 'taubat'...



LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT
 
Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.

 Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.

Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?  Amat malang di Ramadan 1432 H ini jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1431 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini  melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.

Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan  Bayangkan, terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia, tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.

Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.

Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)

Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.

Takuitilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isterti, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya,   kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.

Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:

“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)

Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?

Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.

Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.

Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.

‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
  • Kaum Nabi Nuh.
  • Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
  • Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
  • Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
  • Firaun dan pengikutnya.
  • Kaum Nabi Luth.
  • Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
  • Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.

Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).

Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?

Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24

Ibnu Khatir  menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran.  Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.

Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di Ramadan yang mulia ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

sumber : Genta-rasa 

Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan 1432H / 2011M ~


-RAMADHAN KAREEM-

BismiLlahi walhamduliLlah

Kembali menulis.. setelah berminggu2 'private' blog. Sempena Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari saja lagi, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam diseluruh dunia. Semoga kedatangan bulan mulia ini dapat dimanfaatkan semaksimumnya oleh kita semua. InsyaALLAH. 
 
“Hai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang2 sebelum kamu. Mudah2an kamu bertakwa” (Al Baqarah:183)



Sunday, June 12, 2011

Bacalah Buku Berulang Kali~




Salam 10 Rejab 1432h. 

Untuk entry kali ini, saya ingin kongsikan satu artikel yang dipetik dari iluvislam.com (click) berkenaan pengulangan dalam pembacaan. Semoga bermanfaat. ^^


..................................

Pencinta Buku: Bacalah Buku Berulang Kali...
Membaca kisah para Nabi dan para salafus soleh yang terdahulu merupakan salah satu daripada pembacaan yang cukup bermanfaat, kerana dengannya kita dapat mengambil teladan dalam menjalani kehidupan seharian. Meskipun mereka telah lama meninggalkan kita.


Ketika membaca sebahagian kisah ulama Islam di dalam buku-buku yang saya telaah daripada muka surat ke muka surat, antara perkara yang cukup menarik hati saya dan membuatkan saya takjub adalah apabila membaca tentang ulama yang mempunyai hafalan yang cukup menakjubkan; di mana di antara para ulama Islam ada yang membaca sebuah buku dengan sekali bacaan sahaja mampu menguasai dan menghafal apa yang terkandung di dalam buku berkenaan.


Suka untuk saya mendatangkan satu contoh di sini,  sebagaimana yang dinukil dalam sebuah buku yang bertajuk Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Mereka Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an yang diterjemahkan daripada sebuah kitab arab karya Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, bahawa telah berkata Jamaluddin As-Sarmadi: "Di antara keajaiban pada masa ini dalam masalah hafalan adalah Ibnu Taimiyyah. Dahulu, dia menelaah satu kitab sekali sahaja, maka telah terpateri di dalam benaknya." Sememangnya kemampuan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah satu perkara yang menakjubkan bagi saya.


Sebagai seorang yang minat membaca, saya selalu berharap saya mampu menguasai apa yang terkandung dalam buku dengan hanya sekali bacaan sahaja, sebagaimana sebahagian ulama pada zaman dahulu. Saya percaya, di luar sana tidak sedikit daripada kalangan pencinta buku yang mempunyai keinginan yang sama seperti saya.


Namun, hakikatnya diri saya hanyalah insan biasa, bukanlah genius dan sedemikian hebat; mampu menguasai isi yang hendak disampaikan dalam sebuah buku dengan sekali bacaan semata-mata. Terkadang selepas membaca sebuah buku, saya seakan-akan tidak begitu ingat apa yang telah saya baca, bak kata orang 'masih kabur'. Mungkin anda pun memiliki masalah yang sama. Namun itu bukanlah penghalang untuk saya untuk terus membaca dan membuat saya putus asa sehingga berhenti membaca.


Adalah menjadi kebiasaan saya sebelum ini, apabila telah selesai membaca buku dengan sekali bacaan, maka saya tidak akan mengulangi untuk membaca buku berkenaan daripada muka surat pertama sehinggalah ke muka surat yang terakhir, kerana saya beranggapan perkara itu adalah perbuatan membuang masa. Itulah sikap saya sebelum ini. Satu "mind set" sebenarnya perlu dinilai semula.


Baru-baru ini saya membaca sebuah buku bertajuk Kelebihan dan Keutamaan Menuntut Ilmu, yang asalnya sebuah kitab arab bertajuk Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie karya Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Di dalam buku berkenaan dimuatkan 102 metode bagaimana untuk memotivasikan seseorang dalam menuntut ilmu syar'ie yang dicedok daripada kehidupan para ulama Islam. Antara perkara yang saya dapat jadikan iktibar daripada buku berkenaan, kejayaan tidak akan datang bergolek dan manusia tidak akan memperolehi ilmu dengan bersenang-senangan. Apatah lagi bermalas-malasan.


Sebagai mana kata-kata seorang ulama, ilmu itu tidak akan diperolehi dengan tubuh yang bersenang-senangan dan bermalasan-malasan. Sekiranya ingin menguasai apa yang terkandung dalam sebuah buku, maka kita tidak boleh bosan untuk membaca sebuah buku berulang kali. Usaha membaca berulang kali perlu dilakukan, barulah apa yang kita baca dapat kita kuasai dan fahami dengan sebaiknya. Inilah yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.


Saya percaya, di luar sana ada ramai sudah maklum dan faham perkara ini dan tidak perlu untuk saya beritakan. Namun, bukanlah tujuan utama saya untuk memberitakan yang sedemikian, tetapi yang pertama sekali, saya tujukan penulisan ini buat diri saya sendiri. Semoga saya tidak mudah melupakannya.


Insya-Allah, seterusnya saya akan sebutkan sedikit contoh mengenai sikap para ulama dalam usaha membaca sebuah kitab berulang-ulang kali. Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih menyatakan dalam bukunya Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie: Imam an-Nawawi ketika menulis biografi Imam Abdul Ghafir bin Muhammad Al-Farisi, telah berkata: "Al-Hafiz al-Hasan as-Samarqandi membaca Sahih Muslim lebih daripada 30 kali. Dan Abu Sa'id Al-Buhairi membaca Sahih Muslim di hadapannya lebih daripada 20 kali."


Disebutkan lagi dalam buku berkenaan, seorang ulama yang bernama Abu Bakar al-Abhari, telah membaca kitab Mukhtasar Ibnu Abi Hakam sebanyak 500 kali, As-Asadiyah sebanyak 75 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali, Al-Mabsuth sebanyak 70 kali dan Al-Muwaththa karya Imam Malik sebanyak 45 kali.


Dr. 'Aid Abdullah al-Qarni menyatakan dalam kitabnya Miftahun Najah  yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kunci Kejayaan Minda, seorang alim daripada Andalusia telah mengkhatamkan bacaan Sahih Bukhari sebanyak 700 kali dan anak murid Imam Asy-Syafi'e, iaitu Al-Muzani telah mengkhatamkan bacaan kitab Ar-Risalah karya gurunya itu sebanyak 500 kali!


Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini, semoga ia akan memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri, seterusnya kepada anda yang membaca penulisan ringkas ini.


Akhir sekali saya tinggalkan anda dengan kata-kata seorang bloggers wanita daripada jomsewabuku.blogspot.com dengan katanya: "Saya ingin anda membaca dan terus mengulangi dan mengulanginya sehinngalah buku itu lusuh!"


Wallahu'alam.


sumber : iluvislam


Friday, June 10, 2011

Dari kecil hingga dewasa~

-memori ketika di SKK-

BismiLlahi walhamduliLlah...

Entry khas buat seorang sahabat sempena hari istimewa beliau. (",)

Saya masuk ke SKK ketika darjah 2. Kami mula sekelas ketika darjah 3 hinggalah darjah 6. Dia antara rakan baik saya. Kami satu team netball. Dia 'C', saya 'WD'.. Sentiasa bersama ketika 'training'.. Dan dia adalah pesaing paling utama dalam akademik. Setiap kali 'exam', kami bersaing.. Kalau dibandingkan dengan sekolah menengah, saya lebih suka sekolah rendah.. persaingan dalam kalangan 'budak-budak' yang menyeronokkan.

Dapat result UPSR, kami mula membawa haluan masing-masing. Awalnya, KOSPINT adalah pilihan utama. Namun, pilihan keluarga.. saya melanjutkan pelajaran ke SHAMS, bumi tarbiyyah. Dan dia berjaya ke KOSPINT, kemudian bertukar ke SS. Sekali lagi, kami dipertemukan dalam majlis anugerah pelajar ketika PMR.

Kini, masing-masing sudah bergelar pendidik. Dia di Johor, dan saya di KL. Setelah bertahun-tahun, akhirnya kami dipertemukan di hari bahagianya iaitu pada hari ini, 10 Jun bersamaan 8 Rejab 1432h.

Barokallahulakuma wabaroka'alaikuma wajama'abainakuma fii khoir.. buat;

NORDIANA & zauj <3

Sunday, June 5, 2011

Mengendarai nafsu~

 BismiLlahi walhamduliLlah..

-sayyidul istighfar-


Salam di Bulan Rejab.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
 
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami YaAllah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan)
Allahumma ameen. Semoga dalam rahmat dan redhaNya sentiasa. Entry kali ini, saya cuba mengupas tentang cara untuk mengawal nafsu. Nafsu yang bersarang di dalam diri kita terkadang menjadi tuan tanpa disedari.. Kalau ia bersifat berterusan, pasti diri akan binasa. Bicara yang tidak terlalu padat, ringkas untuk diamalkan bersama, insyaallah.

Perhatikan nafsumu, apa kesukaannya sehinggakan ia terlalu terarah kepada sesuatu perbuatan. Hakikat nafsu, sukakan sesuatu yang menyenangkan tetapi kesenangan itulah yang mengundang murka Allah.

Firman Allah s.w.t :

“..sesungguhnya nafsu sering menyuruh kepada kejahatan..” (Surah Yusuf : 53)

Kenalilah nafsu al-muthma’innah yang ada dalam jiwamu, sejauh mana kekuatannya telah mengajakmu kepada kebaikan, dan nafsu ini jarang sekali muncul dalam diri kita di luar ibadah kecuali pada saat-saat musibah melanda, atau saat-saat kita melihat dan mendengar berita dari kebesaran Tuhan, pasrah tertunduk menerima ketentuan Tuhan serta munajat berharap rahmat dan kasih sayang-Nya.


Cuba bandingkan kedua nafsu di atas mempunyai warna yang jauh berbeza, yang pertama (nafsu amarah dan juga nafsu lawwamah) selalu membuat kita putus dari dzikir dan munajat, tapi yang kedua selalu mengajak kita untuk dekat pada Allah dalam munajat, maka yang harus kita lakukan adalah memimpin nafsu amarah dan lawwamah kepada sikap dan sifat nafsu mutma’innah dengan cara seperti berikut:

1)      Puasakan “perutmu” dari makanan dan minuman (semampumu).
  • Dengan berpuasa, perut kita akan mempunyai kosentrasi yang tinggi dalam menghindari hal-hal yang dilarang agama.
2)      Puasakan “lisanmu” dari ucapan yang tidak penting (semampumu).
  • Dengan puasa lisan kita akan selamat dari bertutur kata yang jelek dan menyakitkan kawan atau lawan.
3)      Puasakan “matamu”  dari hal-hal yang menggoda (ini harus).
  • Dengan puasa mata kita akan terhindar dari tipu daya dunia dan Allah akan curahkan hikmah dari setiap gerak dan kejadian.
4)      Puasakan “hatimu” dari kesibukan bermain dengan perasaan atau keluh kesah (ini harus).
  • Dengan puasa hati kita akan dilatih tahan dengan segala keluh kesah dan juga terlatih untuk selalu dzikir sirri walau aktiviti lahiriah terus berjalan 

Selamat beramal.. teruskan mujahadah melawan nafsu.

Sumber :click

Tidak perlu timbul isu golongan ulama atau bukan~



Md Sabu sebab Umno tidur tak lena - Nik Aziz
Oleh: Aziz Muda


KUALA LUMPUR, 5 Jun: Keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dengan memilih Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru akan memberikan keuntungan besar kepada PAS.

Dengan pemilihan itu, para pemimpin Umno BN diyakini tidak akan lena tidur kerana bimbang dengan kekuatan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh Umno kerana memiliki kehebatan tersendiri.

Menurut beliau, antara kehebatan Mohamad Sabu termasuklah kekentalan semangat, ketabahannya dalam perjuangan dan kesetiaannya yang jitu terhadap PAS.

Katanya, perkara itu terbukti setelah Mohamad Sabu diuji dengan beberapa ujian besar termasuk setelah dua kali ditahan di penjara di bawah ISA.

"Namun Mohamad Sabu tetap tidak lari dengan perjuangannya, tetap tidak memilih Umno, malah tetap terus berada dalam PAS," katanya ketika menyampaikan ceramah perdana di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, malam ini.

Selain mempunyai sikap-sikap itu, menurut beliau, Mohamad Sabu turut diketahui oleh para pemimpin Umno sebagai pemimpin PAS yang berbisa.

"Sebab itulah dengan pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, Umno tidak akan tidur lena selepas ini.

"Kita bersyukur dapat seorang timbalan presiden yang dibenci oleh Umno. Kita doakan semoga Mohamad Sabu terus diberikan perlindungan oleh Allah," katanya.

Para pemimpin Umno seperti yang dilaporkan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia mengatakan, para perwakilan PAS telah melakukan kesilapan besar memilih para pemimpin yang dikatakan dari kalangan profesional bagi menjawat jawatan timbalan dan Naib Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-57.

Dengan pemilihan itu, lapor media Umno, ahli-ahli PAS kini ternyata telah menolak golongan ulama untuk memimpin PAS yang tentunya tidak selari dengan dasar perjungan PAS dan konsep kepimpinan Ulama yang diketengahkan dalam PAS.

Menurut Nik Aziz, tuduhan Umno itu ternyata meleset kerana realiti dalam PAS sendiri tidak timbul soal golongan ulama dan profesional, malah  kesemua pemimpin dan ahli-ahlinya tetap terus dengan dasar perjuangan parti untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air tercinta ini.

"Walaupun dikatakan bukan dari golongan ulama, tetapi Mohamad Sabu ternyata jauh lebih baik dari orang-orang lepasan Al-Azhar terutama yang berada dalam Umno," katanya.

Beliau juga tidak hairan dengan tuduhan Umno itu kerana ia melambangkan ketakutan para pemimpin Umno sendiri dengan pemilihan terhadap Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS.

"Ini melambangkan Umno semakin cemas dan makin terdesak sebab itulah mereka memainkan isu itu untuk memecahbelahkan dan melemahkan PAS.

"Namun itu semua tak akan terjadi. Malah pemilihan ke atas Mohamad Sabu pasti menguntungkan PAS sendiri termasuk dalam soal tarikan ke atas golongan non Muslim kepada PAS," katanya.

Mohamad Sabu, katanya, diketahui semua pihak sebagai pemimpin yang disukai oleh orang-orang Cina dan India. Dengan pemilihan ke atas Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS, pasti akan memudahkan beliau mendekati golongan non Muslim.

"Dengan itu, Mohamad Sabu pasti akan lebih mudah mendedahkan ajaran Islam kepada golongan non Muslim, sejajar dengan usaha kita untuk suburkan fahaman Islam dalam masyarakat," tegas beliau. 



Monday, May 30, 2011

Lambaian, barokallah~

-a part of my dreams~

BismiLlahi walhamduliLlah..

Lambaian Haramain

29 Mei 2011, 2 orang sahabat (Hafizawatie+Aqilah) memulakan keberangkatan ke tanah suci.. Alhamdulillah. Pagi tadi menerima mesej dari jaja, katanya sudah sampai di Jeddah. Akan bergerak ke Madinah.. Allahurobbi.. Pasti kini sudah tersergam indah 'Kaabah' di hadapannya. Selamat menunaikan umrah sahabat!.. Doa dari kami semua mengiringi kalian. Moga dipermudahkan segala urusan di sana.

Barokallah

Ucapan ringkas buat semua sahabat yang baru sahaja dan bakal melangsungkan pernikahan. Barokallahulakuma wabaroka'alaikuma wajama'a bainakuma fi khoir. Semoga diberikan kekuatan dalam menghadapi cabaran hidup mendatang. Teruskan melangkah ke syurga Allah. Tahniah! ^^




p/s: entry ringkas.. masih belum dlm mood untuk kembali menulis.

Thursday, May 19, 2011

....

credit to ^najwa^

Rindu nak update! hoho.. ^^

tunggu masa ok2 sket.. 

Monday, April 25, 2011

apabila 'hidayah' datang bertandang~

CREDIT to NAJWA


Assalamu'alaikum wbt..

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.

Entah apa yang menggamit hati ini.. mudah saja air mata itu jatuh berguguran. Lama menanti, akhirnya Dia Yang Maha Mengasihi memakbulkannya.

Bukan mudah meminta tanpa jiwa yang suci, meminta supaya dimakbulkan itu dan ini.. tetapi jiwa tetap kosong. kosong dari mengingatiNya. na'uzubiLlahi minzalik..

Melihat mereka di Johannesburg membuatkan saya segera mendoakan mujahid mujahidah kecil itu. Moga besarnya kelak menjadi mujahid mujahidah yang bermanfaat untuk Islam. Ameen ya Rabbal 'alamin.


...............................................................

Kebelakangan ini saya banyak mendengar tentang kisah 'hijrah'. Mereka yang berhijrah daripada kemaksiatan kepada kebaikan. Keluar dari kepompong jahiliyyah, menuju kepada cahaya.



Mereka yang dekat dengan saya turut berhijrah. Kalau dulu, berpakaian ala kadar tetapi kini aurat semakin terjaga. Kalau dulu hiburan dijadikan santapan wajib, tetapi kini Kalamullah mula dijadikan keutamaan. Mula menghadiri kelas tajwid, mula menggemari ceramah agama.. subhanallah. Sangat tenang melihat dan mendengar perubahan pada dirinya.


Anak didik saya juga begitu. Kalau dulu seorang 'smoker' tegar.. masuk kelas dengan lagak seorang gangster. tetapi kini... segala-galanya berubah dengan izin Allah. Teringat waktu pertama kali mengenali dirinya, di kelas 406 tahun lepas.


"nama apa?"  hafizuddin.
"apa maksud nama kamu?"  pemelihara agama.


Dia bekas pelajar sekolah agama, kemudian masuk ke sekolah harian. Baru-baru ini saya menerima mesej darinya.

"ustazah, saya dah lama berhenti merokok." 


ayat-ayat seterusnya membuatkan saya tersentak. Gaya bahasa yang cukup sopan dan menenangkan.

Benarlah, apabila 'hidayah' datang bertandang, tiada siapa yang mampu menidakkan. Sungguh beruntung bagi mereka yang dipilih dan memilih jalan yang lurus. 


Bob Lokman juga sama. Siapa tidak kenal dengan artis ini? Dahulu, hidupnya penuh dengan keseronokan, gelak tawa. Tetapi kini ayatnya saja sudah mampu membuatkan air mata berguguran.. sarat dengan ingatan pada Allah. Kata-kata yang lahir dari hati yang suci. 


"Saya tengok diri saya dalam liang lahad.. saya rasa saya tak boleh lepas"


Allahurobbi..


Sepantas kilat.. apabila Allah inginkan perubahan pada hambaNya. Hati kita dalam genggaman Allah.. mohonlah padaNya agar hati ini tidak dibolak balikkan setelah kita mendapat petunjuk dari Allah. 


Melihat hijrah yang dilakukan mereka membuatkan saya befikir.
Adakah ini petanda bahawa Allah juga mahu saya lakukan penghijrahan? 


ya.. ke arah yang lebih baik, insyaALLAH!


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.

(Al-Baqarah. 2:120)




-khaulah-


Thursday, March 31, 2011

"Read the quran, It's from ur GOD... Our GOD"

credit to awaa, nice pic! ;)


"Tidak semua pendidik bersifat murabbi... Pendidik murabbi terikat dengan wahyu al-Quran dan al-Sunnah dalam pemikiran, ucapan dan tindakannya"


Tuesday, March 29, 2011

"GIVING and RECEIVING"

CREDIT TO NAJWA ; Tq awaa (",)

"give and receive are two parts of a single flow, like breathing in (receive) and breathing out (giving). for sure one cannot take place without the other."

-najwa-

Memberi & menerima.

Dua perkara yang berbeza, namun saling berkaitan. Ibarat seorang guru yang masuk ke kelas untuk mengajar. Secara lahirnya, guru itu kelihatan hanya berperanan untuk memberi ilmu kepada para pelajar. Namun, secara tersirat.. si guru juga sedang 'menerima' sesuatu daripada mereka. Apa yang diterima? 

Hampir 3 bulan saya bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah harian di KL. Ternyata, mendidik manusia itu bukan suatu perkara yang mudah. Sangat-sangat memerlukan pengorbanan, kesabaran dan keihlasan. Bak kata seorang sahabat, " kita bukan nak bentuk benda, tapi kita nak bentuk manusia".

Bermain dengan emosi manusia, kadangkala meruntun hati. Menyebabkan jiwa yang dahulu tegar menjadi rapuh. Hilang sudah segala motivasi diri hanya kerana pesimis pada ujian yang baru menjengah. Benarlah firman Allah ;

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Al-Ankabut: 2-3)

Terlalu banyak perkara yang saya pelajari sepanjang 3 bulan melaksanakan amanah. Setiap kelas punya cerita berbeza. Namun, persamaannya letak pada ungkapan 'memberi dan menerima'. Saya masuk ke kelas untuk memberi ilmu sebatas pengetahuan yang ada, pinjaman dari Yang Maha Bijaksana. Dan saya keluar dengan menerima pengajaran yang cukup indah! Hanya apabila saya berfikir kenapa dan mengapa ia terjadi.. 

Kerana saya manusia, saya juga menerima tarbiyyah secara langsung dari Allah.. Bagaimana ingin memperoleh sabar jika tiada ujian kesabaran? Bagaimana ingin berkorban jika diri tidak mahu diuji dengan pengorbanan? Bagaimana ingin ikhlas memberi jika diri tidak sanggup menerima?

Ada kelas yang mengajar saya erti kesabaran, ada yang mengajak saya menghayati erti kasih sayang dan tak kurang ada kelas yang mengajar saya erti ketenangan dan kedamaian. Saya teringat kata-kata hikmah dari seorang pak cik teksi ketika dalam perjalanan ke sekolah. 

Katanya; "Pelajar-pelajar yang nakal itu adalah ujian dari Allah untuk menguji kesabaran kamu, jadi jangan cepat marah."

Benar, ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Berfikirlah dari sudut positif, pasti hati kita akan tenang. Alhamdulillah, hingga ke saat ini.. segalanya dipermudahkanNya. Saya masih seorang guru, yang terus memberi dan menerima..

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(at-Taghaabun: 11)


"ya Allah, jangan sesekali Engkau campakkan dalam hatiku rasa jemu untuk mendidik.. sebaliknya kurniakanlah rasa sayang dan kasih pada mereka"

Monday, March 28, 2011

Khaulah Binti Tsa'labah



Beliau adalah Khaulah binti Tsa`labah bin Ashram bin Fahar bin Tsa`labah Ghanam bin ‘Auf. Beliau tumbuh sebagai wanita yang fasih dan pandai. Beliau dinikahi oleh Aus bin Shamit bin Qais, saudara dari Ubadah bin Shamit r.a yang beliau menyertai perang Badar dan perang Uhud dan mengikuti seluruh peperangan yang disertai Rasulullah saw. Dengan Aus inilah beliau melahirkan anak laki-laki yang bernama Rabi`.


Khaulah binti Tsa`labah mendapati suaminya Aus bin Shamit dalam masalah yang membuat Aus marah, dia berkata, “Bagiku engkau ini seperti punggung ibuku.” Kemudian Aus keluar setelah mengatakan kalimat tersebut dan duduk bersama orang-orang beberapa lama lalu dia masuk dan menginginkan Khaulah. Akan tetapi kesedaran hati dan kehalusan perasaan Khaulah membuatnya menolak hingga jelas hukum Allah terhadap kejadian yang baru pertama kali terjadi dalam sejarah Islam.

Khaulah berkata, “Tidak…jangan! Demi yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, engkau tidak boleh menjamahku karena engkau telah mengatakan sesuatu yang telah engkau ucapkankan terhadapku sehingga Allah dan Rasul-Nya lah yang memutuskan hukum tentang peristiwa yang menimpa kita.

Kemudian Khaulah keluar menemui Rasulullah saw, lalu dia duduk di hadapan beliau dan menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan suaminya. Keperluannya adalah untuk meminta fatwa dan berdialog dengan nabi tentang urusan tersebut. Rasulullah saw bersabda, “Kami belum pernah mendapatkan perintah berkenaan urusanmu tersebut… aku tidak melihat melainkan engkau sudah haram baginya.”

Wanita mukminah ini mengulangi perkatannya dan menjelaskan kepada Rasulullah saw apa yang menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus cerai dengan suaminya, namun rasulullah saw tetap menjawab, “Aku tidak melihat melainkan engkau telah haram baginya”.

Sesudah itu wanita mukminah ini senantiasa mengangkat kedua tangannya ke langit sedangkan di hatinya tersimpan kesedihan dan kesusahan. Pada kedua matanya nampak menitiskan air mata dan semacam ada penyesalan, maka beliau menghadap kepada Yang tiada akan rugi siapapun yang berdoa kepada-Nya. Beliau berdoa,

“Ya Allah sesungguhnya aku mengadu kepada-Mu tentang peristiwa yang menimpa diriku”.

Alangkah bagusnya seorang wanita mukminah semacam Khaulah, beliau berdiri di hadapan Rasulullah saw dan berdialog untuk meminta fatwa, adapun istighatsah dan mengadu tidak ditujukan melainkan untuk Allah Ta`ala. Ini adalah bukti kejernihan iman dan tauhidnya yang telah dipelajari oleh para sahabat kepada Rasulullah saw.

Tiada henti-hentinya wanita ini berdoa sehingga suatu ketika Rasulullah saw pengsan sebagaimana biasanya beliau pengsan tatkala menerima wahyu. Kemudian setelah Rasulullah saw sadar kembali, beliau bersabda, “Wahai Khaulah, sungguh Allah telah menurunkan al-Qur`an tentang dirimu dan suamimu kemudian beliau membaca firman-Nya (artinya),

“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan [halnya] kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat,…sampai firman Allah: “dan bagi orang-orang kafir ada siksaan yang pedih.”(Al-Mujadalah:1-4)

Kemudian Rasulullah saw menjelaskan kepada Khaulah tentang kafarat (tebusan) Zhihar:

Nabi : Perintahkan kepadanya (suami Khansa`) untuk memerdekakan seorang budak
Khaulah : Ya Rasulullah dia tidak memiliki seorang budak yang boleh dia merdekakan.
Nabi : Jika demikian perintahkan kepadanya untuk shaum dua bulan berturut-turut
Khaulah : Demi Allah dia adalah laki-laki yang tidak kuat melakukan shaum.
Nabi : Perintahkan kepadanya memberi makan dari kurma sebanyak 60 orang miskin
Khaulah : Demi Allah ya Rasulullah dia tidak memilikinya.
Nabi : Aku bantu dengan separuhnya
Khaulah : Aku bantu separuhnya yang lain wahai Rasulullah.
Nabi : Engkau benar dan baik maka pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kafarat baginya, kemudian bergaulah dengan anak pamanmu itu secara baik.” Maka Khaulah pun melaksanakannya.

Inilah kisah seorang wanita yang mengajukan gugatan kepada pemimpin anak Adam a.s yang mengandung banyak pelajaran di dalamnya dan banyak hal yang menjadikan seorang wanita yang mengangkat kepalanya tinggi-tinggi dengan bangga dan perasaan mulia dan besar perhatian Islam terhadapnya.

Ummul mukminin Aisyah ra berkata tentang hal ini, “Segala puji bagi Allah yang Maha luas pendengaran-Nya terhadap semua suara, telah datang seorang wanita yang mengajukan gugatan kepada Rasulullah saw, dia berbincang-bincang dengan Rasulullah saw sementara aku berada di samping rumah dan tidak mendengar apa yang dia katakan, maka kemudian Allah Azza wa Jalla menurunkan ayat,

“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang memajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya dan mengadukan (halnya) kepada Allah…” (Al-Mujadalah: 1)

Inilah wanita mukminah yang dididik oleh Islam yang menghentikan Khalifah Umar bin Khaththab r.a saat berjalan untuk memberikan wejangan dan nasehat kepadanya. Beliau berkata,

“Wahai Umar aku telah mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukazh engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah hari demi hari sehingga memiliki nama Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu, ketahuilah barangsiapa yang takut akan seksa Allah maka yang jauh akan menjadi dekat dengannya dan barangsiapa yang takut mati maka dia kan takut kehilangan dan barangsiapa yang yakin akan adanya hisab maka dia takut terhadap Adzab Allah.” Beliau katakan hal itu sementara Umar Amirul Mukminin berdiri sambil menundukkan kepalanya dan mendengar perkataannya.

Akan tetapi al-Jarud al-Abdi yang menyertai Umar bin Khaththab tidak tahan mengatakan kepada Khaulah, “Engkau telah berbicara banyak kepada Amirul Mukminin wahai wanita.!” Umar kemudian menegurnya, “Biarkan dia…tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ketujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya. “

Dalam riwayat lain Umar bin Khaththab berkata, “Demi Allah seandainya beliau tidak menyudahi nasihatnya kepadaku hingga malam hari maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu shalat maka aku akan mengerjakan shalat kemudian kembali mendengarkannya sehingga selesai keperluannya.”

(SUMBER: buku Mengenal Shahabiah Nabi SAW., karya Mahmud Mahdi al-Istanbuly dan Musthafa Abu an-Nashar asy-Syalaby, h.242-246, penerbit AT-TIBYAN)

Source: click

Monday, March 21, 2011

Tiada duka yang abadi~



Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam ‘kan berakhir, hari ‘kan berganti
Takdir hidup ‘kan dijalani

Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Waktu berputar rebulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam ‘kan berakhir, hari ‘kan berganti
Takdir hidup ‘kan dijalani

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Harap ampunkan hamba-Mu ini



Saturday, March 19, 2011

Fi amaniLlah~

BismiLlaahi wal hamduliLlaah..


Doa untuk hari ini, sama-sama kita amalkan.

Tiba-tiba teringat kenangan bersama sahabat seperjuangan. Cuti kali ini kami berkesempatan bersua muka dalam satu liqa' mahabbah sempena meraikan walimah sahabat. Rindu untuk bersama-sama seperti dulu. Walaupun masa terlalu singkat, namun nikmat pertemuan itu suatu anugerah yang tidak ternilai. Subhanaallah. (",)

Atas ikatan aqidah, kita terus berukhuwwah. Mengingatkan yang lupa, menguatkan yang lemah, memberi kepada yang memerlukan...

Subhanaallah. Nikmat berukhuwwah kerana Allah.

"Kita bukan pemula, tetapi kita penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Terus hangatkan roh perjuangan dalam dirimu sahabat.."

Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya sekiranya mereka mengetahui. (Al-'Ankabut : 64)

............................................................

Malam ini saya kembali ke KL, meneruskan tugas sebagai seorang guru. Memberi semaksimum mungkin kepada mereka yang memerlukan. Semoga hati dan jiwa ini sentiasa segar untuk memberi peringatan dan diperingatiNya.

"Ya Allah, jangan sesekali Engkau campakkan rasa bosan dan jemu untuk mendidik dalam hatiku. Mereka adalah tarbiyyah dariMu, permata yang terlalu berharga.."

p/s: kepada sahabat-sahabat borneo & semenanjung, selamat kembali ke destinasi.. Fi amaniLlah~

Friday, March 18, 2011

Musibah & Manusia



Renungi firman Allah s.w.t :

Katakanlah: "Wahai hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Zumar 39:53)

Seketika, saya merenung dan memikirkan maksud tersirat disebalik tajuk diatas. 'Musibah & Manusia'. Gabungan tajuk entry semalam dan hari ini. Lama tidak mencoret, serasa kekok untuk mengarang secara panjang lebar. Kata hati, 'teruskan je..'.


Petikan dari majalah solusi :
"Allah mencipta manusia dan jin bukan untuk melahirkan hambaNya yang sifar dosa, tetapi tujuan daripada penciptaan ini adalah untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Dia Yang Maha Mencipta. Tiada manusia yang tidak berdosa, kecuali para rasul dan nabi yang mulia..."
"Syaitan dan iblis yang begitu konsisten menyesatkan manusia, sentiasa memiliki teknik dan taktik yang licik dan cerdik. Ditambah pula dengan kerjasama nafsu ammarah yang selalu mengajak kepada keburukan dan dosa..."
Walaupun berkali-kali melakukan kebaikan dan amal soleh, tanpa pengawasan dan sikap berjaga-jaga, seseorang manusia akan kembali terjebak dalam perangkap dosa tanpa disedarinya.. silih berganti, dosa dan pahala.

Kerana 'kita yang bernama manusia', jangan pernah putus harap pada Dia yang Maha Mengetahui segalanya.. teruskan memohon keampunan, mohonlah dengan sungguh-sungguh. Nescaya tiap doa yang dipohon akan setia didengariNya.. tanpa pernah jemu. Renungi ayat diatas. Optimis untuk terus melakukan yang terbaik dalam beramal.. 

Sebentar tadi, saya mendapat ilham dari blog sang murabbi yang kini berada di Jordan, Al-Fadhil Ustaz Anhar Opir. Terkesan dengan entry terbaru beliau, 'Bersabar untuk sabar'. Sabar apabila ditimpa musibah dan menganggap positif pada setiap yang berlaku. 'Ia datang dari Allah, zat yang Maha Kuasa.. '. Sedikit perkongsian daripada penulisan tersebut :

Mengambil pedoman daripada Umar bin al-Khattab RA. Dalam satu athar diriwayatkan bahawa Umar berkata: Setiap kali aku ditimpa musibah, aku berfikir empat perkara, dengan demikian jiwaku akan merasa tenang, iaitu: 

Pertama: aku berfikir siapakah yang memberikan aku musibah ini? Dia adalah Allah. Maka dengan segera jiwaku menjadi tenang.
Kedua: aku berfikir bahawa Allah mampu menimpakan kepadaku musibah yang lebih besar daripada yang kuhadapi, dan Allah hanya memberikanku setakat ini sahaja, lantas aku memuji Allah atas musibah yang sedikit ini.
Ketiga: aku selalu ingat sabda Rasulullah bermaksud: 

"Tidaklah seorang mukmin terkena satu duri dan yang lebih besar daripada itu kecuali Allah mengangkatnya satu darjat atau menghapuskan daripadanya satu dosa." 
(Daripada ‘Aisyah, Riwayat Muslim) 
Keempat: aku berfikir bahawa musibah yang terjadi adalah di dunia dan bukannya di akhirat. 

Selanjutnya, hjanhar .

Adakah kita sudah tergolong dalam golongan orang yang bersabar? Lapangkan dada, tanya iman..

Tuesday, March 15, 2011

Ubat hati~

BismiLlaahi wal hamduliLlaah.. 
Salam pertemuan di alam maya. Kembali mencoret di laman sesawang setelah hampir sebulan tiada entry baru yang dipost. Alhamdulillah, pagi tadi saya selamat sampai ke kampung halaman setelah berkampung selama dua hari di Pahang sempena meraikan walimah dua orang sahabat, akh malik dan ukht nabilah. 
"Barokallahulakuma wabaroka'alaikuma wajama'a bainakum fi khoir"
Kedua-duanya sahabat seperjuangan. Gembira melihat mereka selamat diijabkabulkan, semoga kedua-dua mempelai dapat membina keluarga sakinah, dilimpahi rahmat dan mawaddah. ameen ya robbal 'alamin.
Muqaddimah awal setelah lama tidak menulis. Untuk permulaannya, hayati ayat2 di bawah.. Pengubat riak, takabbur, 'ujub dan sum'ah ;
 'sesiapa yang memujimu maka ketahuilah bahawa segala pujian itu adalah kerana kebijaksanaan Allah menyembunyikan keburukanmu. Maka kembalikanlah pujian itu kepada zat yang telah menutup aibmu, bukan kepada yang memujimu'. (Syeikh ibn ata'illah)

Tuesday, February 1, 2011

Orang Yang Dicintai Dan Dikasihi oleh Allah

 Quote dari Jiwa Hamba :

Orang yang dicintai dan dikasihi oleh Allah seperti firmanNya dalam al-quran adalah seperti berikut:

1. Orang yang sabar
وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٤٦)….
Allah benar-benar mengasihi orang yang sabar.
(Ali-Imran – 146)

2. Orang-orang yang bersatu padu berperang di jalan Allah
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬ (٤)
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
(As-Shaf – 4)

3. Orang yang adil.
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ (٩)…
...sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Hujarat – 9)

4. Orang yang bertawakal
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ (١٥٩)…
...sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali-Imran - 159)

5. Orang yang berbuat baik
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥)…
...sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
(Surah al-Baqarah – 195)

6. Orang yang bertakwa.

وَٱتَّقَىٰ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَّقِينَ (٧٦)…
...maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Ali-Imran - 76)

Sunday, January 30, 2011

Mesir dan Tunisia : Bebaskan SPR dan media

KUALA LUMPUR, 29 Jan: PAS meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian (di Mesir dan Tunisia sekarang) berlaku di negara ini," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya bagi mengulas apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir sekarang.

"Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," kata Abdul Hadi.

Rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak semua kerajaan yang memerintah di waktu ini di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan.

Di Mesir, katanya, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

Katanya, dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban.

"Penyelesaian terhadap kemelut ini boleh berlaku dengan dibukanya pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihanraya yang telus di Mesir," katanya.

Kepada kerajaan Barisan Nasional di Malaysia, perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini.

Apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung lagi.

Maka pemerintahan BN, katanya, perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini. Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," katanya.

sumber : Harakahdaily