Pages

Sunday, June 12, 2011

Bacalah Buku Berulang Kali~




Salam 10 Rejab 1432h. 

Untuk entry kali ini, saya ingin kongsikan satu artikel yang dipetik dari iluvislam.com (click) berkenaan pengulangan dalam pembacaan. Semoga bermanfaat. ^^


..................................

Pencinta Buku: Bacalah Buku Berulang Kali...
Membaca kisah para Nabi dan para salafus soleh yang terdahulu merupakan salah satu daripada pembacaan yang cukup bermanfaat, kerana dengannya kita dapat mengambil teladan dalam menjalani kehidupan seharian. Meskipun mereka telah lama meninggalkan kita.


Ketika membaca sebahagian kisah ulama Islam di dalam buku-buku yang saya telaah daripada muka surat ke muka surat, antara perkara yang cukup menarik hati saya dan membuatkan saya takjub adalah apabila membaca tentang ulama yang mempunyai hafalan yang cukup menakjubkan; di mana di antara para ulama Islam ada yang membaca sebuah buku dengan sekali bacaan sahaja mampu menguasai dan menghafal apa yang terkandung di dalam buku berkenaan.


Suka untuk saya mendatangkan satu contoh di sini,  sebagaimana yang dinukil dalam sebuah buku yang bertajuk Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Mereka Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an yang diterjemahkan daripada sebuah kitab arab karya Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, bahawa telah berkata Jamaluddin As-Sarmadi: "Di antara keajaiban pada masa ini dalam masalah hafalan adalah Ibnu Taimiyyah. Dahulu, dia menelaah satu kitab sekali sahaja, maka telah terpateri di dalam benaknya." Sememangnya kemampuan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah satu perkara yang menakjubkan bagi saya.


Sebagai seorang yang minat membaca, saya selalu berharap saya mampu menguasai apa yang terkandung dalam buku dengan hanya sekali bacaan sahaja, sebagaimana sebahagian ulama pada zaman dahulu. Saya percaya, di luar sana tidak sedikit daripada kalangan pencinta buku yang mempunyai keinginan yang sama seperti saya.


Namun, hakikatnya diri saya hanyalah insan biasa, bukanlah genius dan sedemikian hebat; mampu menguasai isi yang hendak disampaikan dalam sebuah buku dengan sekali bacaan semata-mata. Terkadang selepas membaca sebuah buku, saya seakan-akan tidak begitu ingat apa yang telah saya baca, bak kata orang 'masih kabur'. Mungkin anda pun memiliki masalah yang sama. Namun itu bukanlah penghalang untuk saya untuk terus membaca dan membuat saya putus asa sehingga berhenti membaca.


Adalah menjadi kebiasaan saya sebelum ini, apabila telah selesai membaca buku dengan sekali bacaan, maka saya tidak akan mengulangi untuk membaca buku berkenaan daripada muka surat pertama sehinggalah ke muka surat yang terakhir, kerana saya beranggapan perkara itu adalah perbuatan membuang masa. Itulah sikap saya sebelum ini. Satu "mind set" sebenarnya perlu dinilai semula.


Baru-baru ini saya membaca sebuah buku bertajuk Kelebihan dan Keutamaan Menuntut Ilmu, yang asalnya sebuah kitab arab bertajuk Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie karya Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Di dalam buku berkenaan dimuatkan 102 metode bagaimana untuk memotivasikan seseorang dalam menuntut ilmu syar'ie yang dicedok daripada kehidupan para ulama Islam. Antara perkara yang saya dapat jadikan iktibar daripada buku berkenaan, kejayaan tidak akan datang bergolek dan manusia tidak akan memperolehi ilmu dengan bersenang-senangan. Apatah lagi bermalas-malasan.


Sebagai mana kata-kata seorang ulama, ilmu itu tidak akan diperolehi dengan tubuh yang bersenang-senangan dan bermalasan-malasan. Sekiranya ingin menguasai apa yang terkandung dalam sebuah buku, maka kita tidak boleh bosan untuk membaca sebuah buku berulang kali. Usaha membaca berulang kali perlu dilakukan, barulah apa yang kita baca dapat kita kuasai dan fahami dengan sebaiknya. Inilah yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.


Saya percaya, di luar sana ada ramai sudah maklum dan faham perkara ini dan tidak perlu untuk saya beritakan. Namun, bukanlah tujuan utama saya untuk memberitakan yang sedemikian, tetapi yang pertama sekali, saya tujukan penulisan ini buat diri saya sendiri. Semoga saya tidak mudah melupakannya.


Insya-Allah, seterusnya saya akan sebutkan sedikit contoh mengenai sikap para ulama dalam usaha membaca sebuah kitab berulang-ulang kali. Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih menyatakan dalam bukunya Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie: Imam an-Nawawi ketika menulis biografi Imam Abdul Ghafir bin Muhammad Al-Farisi, telah berkata: "Al-Hafiz al-Hasan as-Samarqandi membaca Sahih Muslim lebih daripada 30 kali. Dan Abu Sa'id Al-Buhairi membaca Sahih Muslim di hadapannya lebih daripada 20 kali."


Disebutkan lagi dalam buku berkenaan, seorang ulama yang bernama Abu Bakar al-Abhari, telah membaca kitab Mukhtasar Ibnu Abi Hakam sebanyak 500 kali, As-Asadiyah sebanyak 75 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali, Al-Mabsuth sebanyak 70 kali dan Al-Muwaththa karya Imam Malik sebanyak 45 kali.


Dr. 'Aid Abdullah al-Qarni menyatakan dalam kitabnya Miftahun Najah  yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kunci Kejayaan Minda, seorang alim daripada Andalusia telah mengkhatamkan bacaan Sahih Bukhari sebanyak 700 kali dan anak murid Imam Asy-Syafi'e, iaitu Al-Muzani telah mengkhatamkan bacaan kitab Ar-Risalah karya gurunya itu sebanyak 500 kali!


Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini, semoga ia akan memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri, seterusnya kepada anda yang membaca penulisan ringkas ini.


Akhir sekali saya tinggalkan anda dengan kata-kata seorang bloggers wanita daripada jomsewabuku.blogspot.com dengan katanya: "Saya ingin anda membaca dan terus mengulangi dan mengulanginya sehinngalah buku itu lusuh!"


Wallahu'alam.


sumber : iluvislam


Friday, June 10, 2011

Dari kecil hingga dewasa~

-memori ketika di SKK-

BismiLlahi walhamduliLlah...

Entry khas buat seorang sahabat sempena hari istimewa beliau. (",)

Saya masuk ke SKK ketika darjah 2. Kami mula sekelas ketika darjah 3 hinggalah darjah 6. Dia antara rakan baik saya. Kami satu team netball. Dia 'C', saya 'WD'.. Sentiasa bersama ketika 'training'.. Dan dia adalah pesaing paling utama dalam akademik. Setiap kali 'exam', kami bersaing.. Kalau dibandingkan dengan sekolah menengah, saya lebih suka sekolah rendah.. persaingan dalam kalangan 'budak-budak' yang menyeronokkan.

Dapat result UPSR, kami mula membawa haluan masing-masing. Awalnya, KOSPINT adalah pilihan utama. Namun, pilihan keluarga.. saya melanjutkan pelajaran ke SHAMS, bumi tarbiyyah. Dan dia berjaya ke KOSPINT, kemudian bertukar ke SS. Sekali lagi, kami dipertemukan dalam majlis anugerah pelajar ketika PMR.

Kini, masing-masing sudah bergelar pendidik. Dia di Johor, dan saya di KL. Setelah bertahun-tahun, akhirnya kami dipertemukan di hari bahagianya iaitu pada hari ini, 10 Jun bersamaan 8 Rejab 1432h.

Barokallahulakuma wabaroka'alaikuma wajama'abainakuma fii khoir.. buat;

NORDIANA & zauj <3

Sunday, June 5, 2011

Mengendarai nafsu~

 BismiLlahi walhamduliLlah..

-sayyidul istighfar-


Salam di Bulan Rejab.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
 
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami YaAllah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan)
Allahumma ameen. Semoga dalam rahmat dan redhaNya sentiasa. Entry kali ini, saya cuba mengupas tentang cara untuk mengawal nafsu. Nafsu yang bersarang di dalam diri kita terkadang menjadi tuan tanpa disedari.. Kalau ia bersifat berterusan, pasti diri akan binasa. Bicara yang tidak terlalu padat, ringkas untuk diamalkan bersama, insyaallah.

Perhatikan nafsumu, apa kesukaannya sehinggakan ia terlalu terarah kepada sesuatu perbuatan. Hakikat nafsu, sukakan sesuatu yang menyenangkan tetapi kesenangan itulah yang mengundang murka Allah.

Firman Allah s.w.t :

“..sesungguhnya nafsu sering menyuruh kepada kejahatan..” (Surah Yusuf : 53)

Kenalilah nafsu al-muthma’innah yang ada dalam jiwamu, sejauh mana kekuatannya telah mengajakmu kepada kebaikan, dan nafsu ini jarang sekali muncul dalam diri kita di luar ibadah kecuali pada saat-saat musibah melanda, atau saat-saat kita melihat dan mendengar berita dari kebesaran Tuhan, pasrah tertunduk menerima ketentuan Tuhan serta munajat berharap rahmat dan kasih sayang-Nya.


Cuba bandingkan kedua nafsu di atas mempunyai warna yang jauh berbeza, yang pertama (nafsu amarah dan juga nafsu lawwamah) selalu membuat kita putus dari dzikir dan munajat, tapi yang kedua selalu mengajak kita untuk dekat pada Allah dalam munajat, maka yang harus kita lakukan adalah memimpin nafsu amarah dan lawwamah kepada sikap dan sifat nafsu mutma’innah dengan cara seperti berikut:

1)      Puasakan “perutmu” dari makanan dan minuman (semampumu).
  • Dengan berpuasa, perut kita akan mempunyai kosentrasi yang tinggi dalam menghindari hal-hal yang dilarang agama.
2)      Puasakan “lisanmu” dari ucapan yang tidak penting (semampumu).
  • Dengan puasa lisan kita akan selamat dari bertutur kata yang jelek dan menyakitkan kawan atau lawan.
3)      Puasakan “matamu”  dari hal-hal yang menggoda (ini harus).
  • Dengan puasa mata kita akan terhindar dari tipu daya dunia dan Allah akan curahkan hikmah dari setiap gerak dan kejadian.
4)      Puasakan “hatimu” dari kesibukan bermain dengan perasaan atau keluh kesah (ini harus).
  • Dengan puasa hati kita akan dilatih tahan dengan segala keluh kesah dan juga terlatih untuk selalu dzikir sirri walau aktiviti lahiriah terus berjalan 

Selamat beramal.. teruskan mujahadah melawan nafsu.

Sumber :click

Tidak perlu timbul isu golongan ulama atau bukan~



Md Sabu sebab Umno tidur tak lena - Nik Aziz
Oleh: Aziz Muda


KUALA LUMPUR, 5 Jun: Keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dengan memilih Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru akan memberikan keuntungan besar kepada PAS.

Dengan pemilihan itu, para pemimpin Umno BN diyakini tidak akan lena tidur kerana bimbang dengan kekuatan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh Umno kerana memiliki kehebatan tersendiri.

Menurut beliau, antara kehebatan Mohamad Sabu termasuklah kekentalan semangat, ketabahannya dalam perjuangan dan kesetiaannya yang jitu terhadap PAS.

Katanya, perkara itu terbukti setelah Mohamad Sabu diuji dengan beberapa ujian besar termasuk setelah dua kali ditahan di penjara di bawah ISA.

"Namun Mohamad Sabu tetap tidak lari dengan perjuangannya, tetap tidak memilih Umno, malah tetap terus berada dalam PAS," katanya ketika menyampaikan ceramah perdana di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, malam ini.

Selain mempunyai sikap-sikap itu, menurut beliau, Mohamad Sabu turut diketahui oleh para pemimpin Umno sebagai pemimpin PAS yang berbisa.

"Sebab itulah dengan pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, Umno tidak akan tidur lena selepas ini.

"Kita bersyukur dapat seorang timbalan presiden yang dibenci oleh Umno. Kita doakan semoga Mohamad Sabu terus diberikan perlindungan oleh Allah," katanya.

Para pemimpin Umno seperti yang dilaporkan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia mengatakan, para perwakilan PAS telah melakukan kesilapan besar memilih para pemimpin yang dikatakan dari kalangan profesional bagi menjawat jawatan timbalan dan Naib Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-57.

Dengan pemilihan itu, lapor media Umno, ahli-ahli PAS kini ternyata telah menolak golongan ulama untuk memimpin PAS yang tentunya tidak selari dengan dasar perjungan PAS dan konsep kepimpinan Ulama yang diketengahkan dalam PAS.

Menurut Nik Aziz, tuduhan Umno itu ternyata meleset kerana realiti dalam PAS sendiri tidak timbul soal golongan ulama dan profesional, malah  kesemua pemimpin dan ahli-ahlinya tetap terus dengan dasar perjuangan parti untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air tercinta ini.

"Walaupun dikatakan bukan dari golongan ulama, tetapi Mohamad Sabu ternyata jauh lebih baik dari orang-orang lepasan Al-Azhar terutama yang berada dalam Umno," katanya.

Beliau juga tidak hairan dengan tuduhan Umno itu kerana ia melambangkan ketakutan para pemimpin Umno sendiri dengan pemilihan terhadap Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS.

"Ini melambangkan Umno semakin cemas dan makin terdesak sebab itulah mereka memainkan isu itu untuk memecahbelahkan dan melemahkan PAS.

"Namun itu semua tak akan terjadi. Malah pemilihan ke atas Mohamad Sabu pasti menguntungkan PAS sendiri termasuk dalam soal tarikan ke atas golongan non Muslim kepada PAS," katanya.

Mohamad Sabu, katanya, diketahui semua pihak sebagai pemimpin yang disukai oleh orang-orang Cina dan India. Dengan pemilihan ke atas Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS, pasti akan memudahkan beliau mendekati golongan non Muslim.

"Dengan itu, Mohamad Sabu pasti akan lebih mudah mendedahkan ajaran Islam kepada golongan non Muslim, sejajar dengan usaha kita untuk suburkan fahaman Islam dalam masyarakat," tegas beliau.