Pages

Friday, January 8, 2010

Isu : Penggunaan kalimah ALLAH oleh non-Muslim





Kenyataan Rasmi MANHAL PMRAM tentang isu penggunaan kalimah 'ALLAH' oleh non-Muslim.


1.    Asal usul kalimah Allah

Mengikut kaedah tatabahasa Bahasa Arab, perkataan Allah berasal dari allaha-yauallihu-ilahatan-ilahiyyatan (أله – يؤله – إلهة – إلهية) yang membawa maksud ‘abbada-‘ibadatan (عبادة – عبد( iaitu menyembah-penyembahan. Dari sinilah lahirnya kalimah ilah (إله) yang bermaksud ma’luh (مألوه), seerti dengan ma’bud (معبود) yang bermaksud yang disembah. Pecahan kalimah Allah seperti yang disebutkan di atas merupakan pendapat yang paling tepat di kalangan para ulama’ yang juga mengatakan ia berasal dari kalimah al-ilah (الإله). Kemudian, kalimah hamzah qatha’ dibuang dan diidghamkan lam yang pertama ke dalam lam yang seterusnya dan dibaca dengan tasydid. Antara yang menyebutkan demikian adalah Sibawaih dan majoriti para sahabat.

Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa kalimah Allah itu membawa maksud Dia (Allah) adalah sebagai yang dipertuhankan dan yang disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan, pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan musibah yang menimpa.

2.    Bukti penggunaan kalimah pada zaman dahulu.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran dalam Surah Luqman ayat 25 :


25. dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah S.W.T. lagi dalam Surah Al-Mukminun ayat 86-87 :

86. Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?"
87. mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Berdasarkan kepada dua ayat Al-Quran ini menunjukkan bahawa lafaz Allah digunakan oleh orang-orang musyrik ketika ditanyakan kepada mereka tentang pencipta alam semesta. Namun, para ulama’ dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa jawapan yang diberikan oleh mereka sepertimana disebut dalam ayat di atas hanyalah sebagai iddi’a/idhtirar (dakwaan semata-mata/kerana terpaksa) bukannya lahir dari hati yang mengatakan bahawa Allah merupakan pencipta alam semesta.

Hal ini kerana disebabkan mereka tidak mampu untuk membuktikan bahawa tuhan-tuhan yang disembah mereka berkuasa untuk menciptakan sesuatu apatah lagi langit dan bumi bahkan mereka sendirilah yang mengukir dan membuat tuhan mereka.

Manakala, menurut penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil yang asli (sebelum diubahsuai oleh manusia) dalam bahasa Hebrew ia tidak mendatangkan penggunaan kalimah Allah sedikitpun. Namun, perkataan Allah disebut sebagai ‘Elohim’ dalam bahasa berkenaan yang merupakan pecahan kepada ‘Elo’ (Allah) dan ‘Him’(kata jama’ bagi menunjukkan penghormatan kepada sesuatu).

Samalah juga penggunaan ‘God’ dalam ajaran Kristian membawa maksud Tuhan Bapa (Allah) dan Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan kerana Allah tidak bersifat dengan apa yang menyerupai makhluk. Mereka berpegang kepada konsep Trinity(tiga tuhan yang hakikatnya adalah satu) yang pegangannya berbeza dengan umat Islam yang beriman kepada Allah Yang Maha Esa. Di sini, jelas kepada kita bahawa Allah di sisi Kristian zaman kini adalah 100% berbeza dengan apa yang diimani oleh umat Islam seluruhnya.

3.    Bentuk penggunaan kalimah Allah

Secara ringkasnya, penggunaan kalimah Allah boleh dibahagikan kepada dua iaitu :
•    Lisan.
•    Tulisan.

a)    Penggunaan secara lisan

Setelah diteliti dan dikaji, maka penggunaan perkataan Allah oleh non-muslim telah sabit di dalam Al-Quran, Hadith dan sirah Nabi Muhammad S.A.W. Namun beberapa perkara perlu diingat dalam menjelaskan penggunaan ini :

•    Penggunaan tersebut tidak dinafikan berdasarkan apa yang telah disebutkan di dalam Al-Quran, Hadith dan sirah.
•    Walau bagaimanapun, penggunaan ini adalah melihat kepada tujuan mereka menyebutkan perkataan Allah bukan datang disebabkan mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah tetapi hanya semata-mata dakwaan atau kerana terpaksa.
•    Penggunaan secara lisan sedikit sebanyak mendatangkan mudarat namun ia tidak seberat penggunaan pada tulisan.

b)    Penggunaan secara tulisan

Melihat kepada implikasi yang cukup besar di sebalik penggunaan secara bertulis, para ulama’ tidak membenarkannya bersandarkan kepada beberapa sebab :
•    Ia boleh mendedahkan nama Allah kepada penghinaan apabila disifatkan dengan pelbagai perkara yang menyalahi secara terang-terangan akidah muslim  dan tidak dijaga dengan baik. Ulamak mazhab Syafei menyatakan haram kepada seorang muslim menulis nama Allah dalam fatwa kepada ahli zimmah kerana ia boleh menghina nama Allah SWT.

قَوْلُهُ : ( مِنْ الْإِهَانَةِ ) يُؤْخَذُ مِنْهُ - لِمَا فِي مِلْكِ الْكَافِرِ لِلْمُصْحَفِ وَنَحْوِهِ مِنْ الْإِهَانَة - بِالْأَوْلَى أَنَّهُ يَحْرُمُ عَلَى الْمُسْلِمِ إذَا اسْتَفْتَاهُ ذِمِّيٌّ أَنْ يَكْتُبَ لَهُ فِي السُّؤَالِ وَالْجَوَابِ لَفْظَ الْجَلَالَةِ ، فَتَنَبَّهْ لَهُ فَإِنَّهُ يَقَعُ كَثِيرًا الْخَطَأُ فِيه )حاشية البجيرمى على الخطيب 3/314، حاشية الشبراملسى على نهاية المحتاج)

•    Menutup jalan yang boleh menyebabkan mudharat dan bahaya besar kepada umum walaupun ada maslahat pihak tertentu dan hukum asalnya harus. Menolak mudharat umum lebih utama dalam kes ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam Syatibi dan imam Ghazali.

وإن أمكن انجبار الإضرار ورفعه جملة؛ فاعتبار الضرر العام أولى؛ فيمنع الجالب أو الدافع مما هم به؛ لأن المصالح العامة مقدمة على المصالح الخاصة بدليل النهي عن تلقي السلع......
ونحن إنما نجوز ذلك- قتل مسلم تَتَرَّسَ به الْكُفَّار- عند القطع أو ظن قريب من القطع والظن القريب من القطع إذا صار كليا وعظم الخطر فيه فتحتقر الأشخاص الجزئية بالإضافة إليه
)وانظر:الموافقات 2/348، و"المستصفى" "1/ 424"، و"الأشباه والنظائر" "1/ 122)

•    Ia mungkin digunakan sebagai nama khas untuk makhluk sedangkan ijmak ulamak tidak mengharuskannya.

الْأَلْفَاظُ الَّتِي هِيَ مُخْتَصَّةٌ بِاَللَّهِ تَعَالَى نَحْوُ لَفْظِ الْجَلَالَةِ وَلَفْظِ الرَّحْمَنِ فَإِنَّهُ لَا يَجُوزُ اسْتِعْمَالُهُمَا فِي غَيْرِ اللَّهِ أَلْبَتَّةَ إجْمَاعًا ، )مواهب الحليل شرح مختصر خليل )

•    Ia akan menimbulkan kekeliruan di kalangan muslim dalam persoalan akidah apabila disebarkan secara meluas dan amat dibimbangi sekiranya ia disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyampaikan ajaran agama lain dan juga dakyah.

Keputusan Felo MANHAL PMRAM : Tidak bersetuju secara mutlak penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim secara bertulis samada dalam bentuk akhbar, majalah, laman blog dan apa jua medium sebaran maklumat kerana melihat kepada beberapa larangan oleh para ulama’ dan mudarat yang lebih besar. Namun, penggunaan secara lisan oleh mereka dipandukan kepada 3 perkara yang dijelaskan di atas dengan melihat ia bukanlah sebagai pengakuan bahawa Allah hanyalah tuhan yang layak disembah di sisi mereka.

Akhir sekali, umat Islam pada masa kini perlulah sentiasa peka dan mempunyai sensiviti yang tinggi terhadap perkara yang bersangkutan dengan akidah Islamiyyah. Kita semua wajib mempertahankan segala keraguan yang ditimbulkan musuh-musuh Allah agar agama Islam itu terpelihara dan bebas dari fahaman-fahaman yang menyimpang dari landasan sebenar. Wallahua’lam.


 sumber :PMRAM 

2 comments:

TyRoX SaN said...

salam ziarah dri edmonton

learn quran online said...

You are doing a great job I liked reading you blog and I loved keep on the good work on I don’t know if I have said it already or not but great wok tack care thank you