Pages

Friday, August 27, 2010

Ramadhan 17 : Dari sahabat untuk sahabat





 Wahai Sahabatku yang kecewa


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.


Wahai sahabatku,
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.


Wahai sahabatku,
Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?


Wahai sahabatku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.


Wahai sahabatku,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?


Wahai sahabatku,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.


Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah…


- artikel dari www.iluvislam.com

Wednesday, August 25, 2010

Ramadhan 15 : Kejahatan itu bukan suatu kebetulan


Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya… rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan… tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk ’maju’ setapak lagi. Itulah tahap ke-empat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat… pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Ketelanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri… ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah ’peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak ‘menjadi’ berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’ yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah… sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa… tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!

click : Genta-rasa

edit : khaulah

"semoga diri ini sentiasa dijauhkan daripada nafsu yang tidak pernah kenyang"

Saturday, August 21, 2010

Ramadhan 11 : Dengar, hafal, sampaikan...




BismiLlahi wal hamduliLlah..


Daripada Zaid bin Thabit r.a, Nabi s.a.w bersabda : "Allah menyerikan orang yang mendengar suatu hadith daripada kami lalu ia menghafalnya sehingga ia menyampaikan kepada orang lain. Kemungkinan seseorang itu membawa suatu kefahaman kepada orang lain yang lebih memahami. Dan berkemungkinan orang yang membawa suatu kefahaman sebenarnya tidak memahaminya."


(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)





..........Renungan...........




"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal."


(Saidina Ali r.a)




Selamat beramal. Semoga setiap amalan kita diredhai.


Thursday, August 19, 2010

Ramadhan 9 : Maksimumkan Ramadhan




BismiLlahi walhamduliLlah
Salam pertemuan di bulan yang penuh barokah.
Tiada yang mesti kita lakukan untuk mendapat keutamaan Ramadhan kecuali memaksimumkan dan mengoptimumkan ibadah iaitu dengan mengisi setiap detik yang kita lalui di bulan ini dengan amal-amal yang bermanfaat. Salafussoleh memberikan banyak contoh kepada kita, apa yang harus dilakukan dan bagaimana melakukannya. Di sini, saya cuba menyatakan beberapa langkah yang dinasihatkan para ulama’ kepada kita. Antaranya;
1.       Berusahalah semaksimum mungkin untuk menjadikan Ramadhan yang penuh berkat ini sebagai stesen muhasabah diri, dengan meningkatkan amal-amal kita, mengulang dan memperbaikinya, sebagai bekal kehidupan kelak.
 
2.       Berusahalah menjaga kestabilan dan konsisten mengerjakan solat terawih secara berjemaah kerana Rasulullah SAW bersabda,
              “Siapa yang solat bersama imam sampai dia berhenti, maka akan dicatat untuknya seperti   mendirikan solat sepanjang malam”
3.       Berlebih-lebihanlah dalam bersedekah.

“Berusahalah untuk memberi makanan atau minuman kepada orang yang berpuasa agar kita mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya…”

4.       Bertekad untuk istiqamah dalam melakukan perbuatan baik yang kita biasakan dalam bulan Ramadhan, setelah berakhirnya Ramadhan. (baca quran, qiamullail, sedekah, …)

5.       Mengambil pengajaran berdasarkan waktu yang telah berlalu, serta berusaha menutupi kekurangan yang ada dengan memanfaatkan sisa-sisa umur.

6.       Sesungguhnya bulan ini adalah bulan ibadah dan amal, bukan memperbanyakkan tidur dan mencambahkan kemalasan.

7.       Lazimi lidah kita untuk berzikir. Janganlah kita termasuk dalam kalangan mereka yang sedikit mengingati Allah SWT.

8.       Ketika kita merasa lapar, maka ingatlah sesungguhnya kit adalah makhluk yang lemah dan sangat memerlukan makanan dan keperluan lainnya daripada Allah SWT.

9.       Gunakanlah waktu kita pada bulan ini untuk menjinakkan syahwat daripada melakukan perbuatan yang tidak bermanfaat, bahkan membahayakan.

10.   Ketahuilah bahawasanya beramal itu adalah amanah. Maka muhasabah diri kita apakah kita telah melakukannya dengan baik atau tidak.

11.   Berusahalah memahami makna-makna (tafsir) daripada Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW, sirah Rasulullah SAW dan salafusoleh, serta ilmu-ilmu agama kerana sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah termasuk ibadah.

Sedikit perkongsian berkenaan nasihat ringkas daripada orang-orang soleh kepada kita. Semoga kita dapat menjadikannya sebagai renungan untuk meraih sebanyak mungkin pahala yang terkandung dalam  bulan Ramadhan.



Sumber : Nasihat Ramadhan daripada Orang-orang Soleh (Sulthan Hadi)
Pandang sisi: TGNA

Wednesday, August 18, 2010

Ramadhan : 8


"semoga dijauhkan daripada nafsu yang tidak pernah kenyang"